


Rasulullah
saw bersabda: Wahai Fatimah! Pergilah kamu kepada qurbanmu dan
saksikanlah. Sesungguhnya bagimu keampunan daripada Allah terhadap
dosa-dosamu yang telah lalu dengan bermulanya titisan darah qurban itu.
Fatimah berkata: Wahai Rasulullah! Adakah ini khas untuk Ahlul Bait
sahaja atau untuk kita semua dan seluruh umat Islam? Baginda menjawab:
Bahkan untuk kita semua dan seluruh umat Islam.
Bergemalah
10 Zulhijjah dengan laungan takbir di seluruh dunia tanda tibanya
Aildiladha. Maka kekallah takbir itu dilaung seusai solat fardhu selama 3
hari 3 malam. Hari Tasyrik ini diserikan dengan ibadah qurban tanda
syukur dan taabbud kepada Allah Taala.
Pastinya Aidiladha ini kita diulangpesan akan sirah agung Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail as.
Ketaqwaan
Ibrahim, kesabaran Ismail dan pengorbanan Hajar. Semuanya terangkum
kemas dalam lipatan sejarah yang punya tarbiyyah yang sangat banyak dan
bermanfaat kepada kita semua.
Memuhasabah diri akan apa yang kita telah korbankan demi-Nya.
7
hari seminggu itu berapa yang kita luangkan untuk menegakkan
kalimah-Nya? Apa kita tidak punya kekuatan untuk mengorbankan sedikit
masa buat Islam? Wang ringgit dan tenaga, sudikan kita berhabis demi
agama kebenaran ini?
Sungguh kita bagai langit dengan bumi perumpamaanya dengan Ibrahim dan Ismail.
Bahkan
kita sangat bakhil untuk mengorbankan apa yang kita ada demi perjuangan
suci ini. Rasulullah saw kekasih Allah itu, bukan hanya berkorban masa,
tenaga, dan dinar dirham, lebih dari itu darahnya menggenangi sepatu
yang dipakai.
Entah
bagaimana kita mahu berhadapan dengannya baginda di Mahsyar sana. Mana
mahu disorok muka tembok kita apalagi mahu bertemu baginda memohon
syafaatnya.
Memikirkan semua ini lidah kelu, hati sendu.
Ya Allah...hanya pada-Mu kuseru agar dibantu.
Aidiladha di 'Lembah Harapan'
"Selamat Hari Raya Aidiladha"
Bertalu-talu mesej ucapan selamat menerjah ke masuk. Telefon bimbit meriah semeriah kanak-kanak di hari raya.
Tahun ini saya tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama ayah bonda tercinta dan sanak saudara.
Namun
beraya di Bandar Seri Putra bukanlah bermakna hanya mendekam di atas
katil rumah. Kalau di kampung halaman, saya mengisi Aidiladha dengan
menziarah sanak saudara dan jiran tetangga. Di sini Aidiladha lebih
penat dan berat. Saya bersama para pensyarah di tempat saya menuntut
ilmu suatu masa dahulu melaksanakan ibadah korban. Turut sama
rakan-rakan yang senasib (tak dapat balik kampung). Aidiladha di KUIS
nyata turut meriah.
Kamilah
bentara-bentara. Urusan melapah, memotong, membasuh, mencuci, memasak,
menghidang. 90% kerja-kerja dapur lelakilah tenaga utamanya. Bukan buruh
paksa, ini buruh rela.
Seusai
solat dan khutbah Aidiladha sehinggalah Asar menjelma kami memerah
tenaga bagi memastikan semuanya lancar dan beres belaka.
Penat semalam masih kuat terasa. Batuk dan selesema pula datang menduga.
Semoga
itu semua bisa membenihkan takwa dan redha-Nya. Kepenatan itu hanya
semata-mata untuk membeli ukhuwah dan tarbiyyah. Mudah-mudahan pahit
jerih kita ada nilai di sisi-Nya.
Pastinya setiap tanggal 8 November merupakan hari yang saya ingati. Itu adalah tarikh dimana insan ini lahir ke dunia.
Tahun
demi tahun, usia menganjak dan meningkat. Dari bayi menjadi
kanak-kanak. Kemudian menganjak remaja. Seterusnya dewasa. Dan jika
sempat mungkin sahaja berstatus tua. Bahasa sedapnya, warga emas.
Tanggal 8 November kali ini bagi saya sarat dengan mesej untuk muhasabah kembali. Sejauh ini apa yang telah dilakukan.
Ya,
ianya satu persoalan yang berat namun mesti dilakukan. Bukankah kita
diajar agar hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari
hari ini. Kalau tidak, kita adalah orang yang rugi dan tertipu.
Melihat kembali hablum minallah dan hablum minannas.
Satu
yang mesti kita faham ialah meningkat usia sebenarnya bukan usia
menjadi panjang tetapi ia membawa maksud kematian semakin hampir. Bila?
Itu hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Meningkat umur setahun bermakna
mendekat setahun kepada kematian. Begitulah seterusnya.
Moga
semua ini kekal segar dalam ingatan dan menjadi amaran untuk kita tidak
main-main mengisi waktu yang dipinjamkan. Bimbang-bimbang kita
mengadapnya tanpa sedia amal yang secukupnya.
Nak
harap amal untuk beli syurga memang tidaklah. Baginda Rasulullah s.a.w
pun tegaskan baginda ke syurga adalah atas rahmat Allah.
Itu
Rasul, kekasih Allah. Yang ibadah, muamalah, dan semuanya no.1, A1
masuk syurga bukan atas amal tapi rahmat. Agak-agak, kita?
Entah
kenapa akhir-akhir ini saya asyik teringat Surah Qaaf. Setiap kali
membacanya, ia seperti memukul-mukul jiwa dan rasa ini. Namun tetap
dibaca dan diulang-ulang.
24. Allah berfirman :"Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat ingkar dan keras kepala,
25. Yang sangat menghalang kebajikan, melanggar batas lagi ragu-ragu,
26. Yang menyembah sembahan yang lain beserta Allah maka lemparkanlah dia ke dalam siksaan yang sangat ."
27. Yang menyertai dia (Syaitan) berkata (pula): "Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh."
28.
Allah berfirman : "Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, padahal
sesungguhnya Aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu."
29. Keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan Aku sekali-kali tidak menganiaya hamba-hamba-Ku
30.
(Dan ingatlah akan) hari (yang pada hari itu) Kami bertanya kepada
jahannam : "Apakah kamu sudah penuh?" Dia menjawab : "Masih ada
tambahan?"
31. Dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka).
32.
Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang
selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua
peraturan-peraturan-Nya)
33. (Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat,
33. (Iaitu) orang yang takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat,
34. Masukilah syurga itu dengan aman, itulah hari yang kekal.
35. Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.
Astaghfirullah al-Aziim...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar